Rabu, 5 Mei 2010

Konspirasi PAS, PKR dan DAP dalam mempengaruhi Azamuddin?


“Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka.”

1. Pernyataan di atas penulis petik dari laman blog Khalid Samad di dalam tulisan beliau bertajuk Keadilan Untuk Aminulrasyid bertarikh 28 April 2011 jam 6.08 petang (sini). Itu pesanan Khalid kepada Azamuddin (saksi utama kes) kerana mengkhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis sekiranya beliau ditahan. Di dalam artikel berkenaan Khalid nukilkan bagaimana Azamuddin telah menceritakan kepadanya babak-babak cemas yang berlaku pada malam kejadian sehingga beliau berjaya melarikan diri.

2. Berdasarkan penulisannya itu, penulis rumuskan bahawa Khalid merupakan orang pertama yang “menyoal-siasat” Azimuddin sebelum beliau dibawa ke Balai Polis oleh Khalid sendiri. Melalui artikel ini, penulis cuba untuk mencungkil beberapa persoalan yang wujud hasil dari perbandingan di antara “soal-siasat” Khalid terhadap Azamuddin dengan sidang akhbar Azamuddin di rumah Aminulrasyid pada 3 Mei 2010.


3. Pertama, Khalid menyatakan di dalam penulisannya:

“.., mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ.”

Sekarang cuba bandingkan ayat Khalid di atas dengan rakaman sidang media Azamuddin pada minit 1:12 dalam video di bawah:



“bergesel dengan satu... apa, satu kereta... saya tak ingat kereta dia

Persoalan yang ingin penulis bangkitkan ialah mengapa Khalid begitu yakin kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid telah bergesel dengan kereta mewah sedangkan Azimuddin jelas menyatakan beliau tidak mengingati kereta apa yang telah digesel? Sekiranya benar Azimuddin ada memberitahu Khalid jenis kereta yang digesel semasa mereka berjumpa pada 26 April, masakan hanya dalam tempoh seminggu Azimuddin telah terlupa mengenainya? Takkanlah kejadian yang mungkin akan menghantui hidupnya sepanjang hayat dapat dilupakan dalam sekelip mata? Pelik bukan?


4. Kedua, pernyataan berikut juga dinyatakan Khalid di dalam penulisannya:

“Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.”

Sekarang, cuba bandingkan ayat berkenaan dengan rakaman video yang sama di Para 3 pada minit 1:24:

ada dekat lima buah biji motor aaa dia kejar saya kan, kira apa ni saya lari masa tu”

Ada dua persoalan yang ingin penulis bangkitkan hasil perbandingan yang ini. Persoalan pertama ialah Khalid menggunakan ayat “motorsikal berkenaan” yang jelas menggambarkan hanya terdapat sebuah motorsikal mengejar mereka berdua dan motorsikal itu terbabas apabila terlanggar kereta yang dipandu Aminulrasyid. Berbeza dengan rakaman video, Azamuddin menyatakan “ada dekat lima buah biji motor” yang mengejar. Mana satu yang betul? Sebuah motorsikal atau lima buah yang mengejar?

Persoalan seterusnya, mengapa Azamuddin menggunakan perkataan “saya” di dalam ayat “ada dekat lima buah biji motor aaa dia kejar saya” dan “saya lari masa tu”? Mengapa beliau tidak menggunakan perkataan “kami” (atau “kitaorang”) sedangkan beliau sedar ketika dikejar motorsikal beliau masih bersama Aminulrasyid di dalam kereta dan bukannya ketika beliau melarikan diri selepas kereta terbabas. Adakah Azamuddin terkeliru? Mengapa beliau perlu keliru?


5. Ketiga, pernyataan seterusnya dari penulisan Khalid:

“Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah.”

Sekarang, bandingkan pula dengan minit 3:30 dalam video yang sama di Para 3 di atas.

“Lepas tu saya terus larikan diri, polis tak dapat tangkap, saya terus lari.. masuk sekolah, saya terus balik ke rumah.”

Persoalan yang penulis ingin bangkitkan ialah Khalid menyatakan bahawa abang Azamuddin telah muncul tiba-tiba semasa mereka sedang “membincangkan” kejadian yang berlaku dan memarahinya kerana tidak pulang ke rumah. Sebagai peringatan, perbincangan berkenaan dibuat selepas Maghrib 26 April. Berdasarkan bukti video pula, Azamuddin menyatakan beliau terus balik ke rumah selepas berjaya melepaskan diri dari polis ketika kejadian yang berlaku di awal pagi 26 April.

Jarak tempoh masa dari awal pagi (katakan jam 3.00 pagi beliau sampai rumah) ke waktu Mahghrib (katakan jam 7.00 malam) adalah 16 jam. Takkanlah di waktu itu beliau langsung tidak berjumpa dengan seorangpun ahli keluarga? Jika benar beliau dicari kerana tidak balik ke rumah, bukankah Azamuddin ada telefon bimbit, siap nombornya diberikan pada Khalid lagi. Takkanlah keluarganya tidak menghubungi telefon bimbit beliau? Pelik bukan? Kenapa kenyataan Khalid dan Azamuddin bercanggah? Siapa yang keliru?


6. Keempat, mengapa Azamuddin di dalam sidang akhbar berkenaan langsung tidak menyatakan bahawa beliau ada bertemu dengan Khalid sebelum ke Balai Polis? Beliau hanya menyatakan pernyataan berikut di dalam rakaman video di Para 3 di atas pada minit 4:18:

“Kat situ saya tak boleh terima malam tu jugak saya pergi membuat laporan polis aaa..”

Ia kemudiannya berakhir begitu saja dengan celahan Surendran tanpa disebut langsung nama Khalid Samad. Penulis cuba untuk mencari di dalam pelbagai rakaman video sidang akhbar berkenaan melalui YouTube. Rakaman paling panjang (8 minit 51 saat) yang penulis temui adalah dari malaysiakini.tv namun melaluinya juga nama Khalid langsung tidak disebut. Berikut rakaman video berkenaan:



Adakah Azamuddin telah diminta untuk tidak menyatakan pertemuannya dengan Khalid itu? Mengapa perlu merahsiakan perkara berkenaan? Adakah sesuatu yang cuba diselindunginya?


7. Persoalan besar yang timbul di benak penulis ialah adakah kekeliruan yang dialami oleh Azimuddin merupakan petanda bahawa Khalid telah mempengaruhinya untuk memberikan pernyataan-pernyataan tertentu ketika mereka bertemu selepas Maghrib 26 April, sebelum dibawanya ke Balai Polis pada jam hampir 10 malam? Dan adakah ketika mengadakan sidang akbar, Azamuddin telah menceritakan kejadian dengan penceritaan yang telah “ditambahbaik” oleh Lateefa Koya (Ketua Penerangan PKR) dan N. Surendran (DAP - sini)? Oleh kerana terdapat beberapa versi, mungkinkah ini yang menyebabkan Azamuddin terkeliru? Mungkinkah?

8. Persoalan-persoalan ini sebenarnya tidak akan timbul sekiranya Khalid terus membawa Azamuddin sebaik saja beliau bertemu dengannya ke Balai Polis. Di sana Khalid boleh bertegas untuk duduk bersama dan mendengar laporan yang hendak disampaikan oleh Azamuddin kepada polis 100%. Khalid berhak untuk duduk bersama kerana beliau yang membawa Azamuddin dan beliau juga adalah Ahli Parlimen Shah Alam, wakil rakyat kepada Azamuddin dan Aminulrasyid. Lihat saja bagaimana beliau dibenarkan oleh polis untuk “menentukan bahawa laporannya (Azamuddin) sama seperti ceritanya kepada saya (Khalid) sebelum ini”. Bukankah itu membuktikan polis juga tetap menghormati beliau sebagai wakil rakyat walaupun dari parti pembangkang?

9. Lateefa Koya dan N. Surendran juga seharusnya tidak bersikap ingin menjadi jaguh dalam kes ini. Perbuatan mereka memanggil sidang media untuk saksi utama kes yang sedang disiasat bakal menyukarkan tugas polis. Ketika melaung-laungkan keadilan untuk Aminulrasyid, pada masa yang sama mereka bersikap tidak beretika sebagai seorang peguam dan cuba untuk mewujudkan keadaan yang boleh menimbulkan prejudis terhadap siasatan yang dijalankan. Rujuk kenyataan Ketua Polis Selangor di sini.

10. Satu ketika penulis tertanya-tanya, adakah hubungan yang terjalin dalam penceritaan ini iaitu Khalid Samad dari PAS, Lateefa Koya dari PKR dan N. Surendran dari DAP muncul secara tidak sengaja atau ia sememangnya satu konspirasi dari pihak PAS, PKR dan DAP? Lihat saja bagaimana Khalid terus menghubungi Gobind untuk memintanya mewakili Azamuddin. Dan mungkinkah juga ibu Aminulrasyid telah "dipaksa" oleh tangan-tangan ghaib untuk menerima Karpal Singh sebagai peguam bagi membela kematian anaknya itu sedangkan beliau sendiri sebelum ini telah merayu agar kematian Aminulrasyid tidak dipolitikkan?

11. Niat penulis menukilkan artikel ini bukan untuk menyakitkan hati mana-mana pihak, apatah lagi ibu Aminulrasyid. Penulis sekadar ingin mendedahkan riak-riak yang memungkinkan kematian Aminulrasyid ini dipolitikkan (ataupun telah sebenarnya) sebagaimana kematian Teoh Beng Hock dan A. Kugan. Penulis tidak mahu gambar Aminulrasyid digantung di badan dan dijaja ke sana kemari oleh pihak-pihak yang hanya mahu memikirkan kepentingan politik, undi dan kuasa.

12. Marilah kita mendoakan agar siasatan kes ini berjalan lancar dan pada masa yang sama, kita bersikap adil kepada pihak polis yang telah menjaga keselamatan dan keamanan kita secara umumnya. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Ingat pesan bapa saudara Aminulrasyid, “dalam setandan kelapa itu mungkin ada sebiji dua yang tak eloknya”. Jadi, biar pihak yang sepatutnya menentukan sama ada “kelapa” itu elok atau tidak. Jika tidak, buanglah ia, jika elok, nilailah dengan bijaksana. Semoga roh Aminulrasyid ditempatkan dikalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Nota kaki:
Banyak group diwujudkan di dalam facebook yang kononnya menuntut keadilan untuk Aminulrasyid. Namun hakikatnya, semuanya menjadi tempat untuk menghina polis dan kerajaan. Boleh agak siapa dalang di sebaliknya?

Kredit Gambar: Utusan Malaysia Online

Isnin, 3 Mei 2010

Anwar punca Nizar meroyan sampai hari ini!




1. Melihat video di atas membuatkan penulis menggelengkan kepala. Penulis hanya faham apa yang diucapkannya dalam bahasa Melayu. Semua orang sedia maklum beliau boleh berbahasa Cina. Mungkin ceramah-ceramah dan ucapannya dalam bahasa Cina lebih “hebat” daripada ini. Inilah contoh kepimpinan baru PAS yang hendak diangkat oleh penyokong PAS, PKR dan DAP. Fitnah Nizar dalam nada rasis ini amat dahsyat. Nizar menjadi begini kerana kehilangan kuasa, status dan pangkat sebagai Menteri Besar Perak.

2. Penulis kasihankan Nizar. Sakit meroyan beliau yang gilakan jawatan Menteri Besar Perak sebenarnya berpunca daripada Anwar. Anwarlah punca Nizar hilang kuasa di Perak. Namun apakan daya, Nizar sendiri sanggup untuk membiarkan diri diperkudakan Anwar dan DAP walaupun tiada lagi kuasa. Ingatkan selepas jadi MB Boneka beliau akan insaf, namun ketaatannya kepada DAP semakin menjadi-jadi sedangkan DAP sebenarnya tidak pernah merestui beliau sebagai MB Perak.

3. Masih ingatkah lagi bagaimana DAP memulaukan majlis angkat sumpah Nizar sebagai MB Perak (sini)? Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan yang menyatakan Nizar tidak mendapat mandat daripada DAP untuk menjadi MB Perak di laman blognya (sini). Ia dilakukan kerana PAS hanya memperoleh 6 kerusi berbanding PKR 7 dan DAP 18. Ini bermakna walaupun DAP akhirnya “terpaksa” untuk menerima Nizar, beliau sebenarnya tidak pernah diiktiraf dan direstui DAP.

4. Jatuhnya Nizar sebagai Menteri Besar Perak sebenarnya bukan bermula selepas dua orang ADUN PKR iaitu Jamaluddin Mat Radhi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) serta seorang ADUN DAP Hee Yit Foong (Jelapang) keluar dari parti menjadi ADUN Bebas tetapi sebaliknya ia bermula sebaik saja Anwar Ibrahim beria-ia memperkenalkan Kerajaan 16 September, kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAS yang bakal mengambil alih pentadbiran persekutuan pada 16 September 2008. Secara mudahnya, Kerajaan 16 September ialah tindakan 30 ahli parlimen BN berpaling tadah dan menyokong gabungan PKR, PAS dan DAP untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

5. Mengapa 30 orang? Jumlah kerusi parlimen Malaysia ialah 222. Dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008, BN memperoleh sebanyak 140 kerusi, PKR 31, DAP 28 dan PAS 23. Gabungan PKR, DAP dan PAS berjumlah 82. Ini bermakna, mereka memerlukan 30 ahli parlimen BN untuk menyokong mereka untuk mendapat majoriti mudah atau jumlah minimun bagi membentuk Kerajaan 16 September (BN: 140-30=110, PKR,DAP,PAS: 82+30=112).

6. Bagi merelisasikan hasrat Anwar menjadi PM, pelbagai usaha dibuat untuk menjayakan agenda Kerajaan 16 September. Lihat saja bagaimana Anwar berterusan memperbodohkan penyokong PKR, PAS dan DAP dengan menghantar 4 orang ahli parlimen mereka ke Taiwan pada 12 September 2008 semata-mata untuk mengekori ahli-ahli parlimen BN yang kononnya menyokong kerajaan 16 September beliau (sini, sini dan sini).

7. Pada 15 September 2008 pula Anwar sekali lagi meneruskan usaha memperbodohkan pengikutnya di Stadium Kelana Jaya dengan mengeluarkan kenyataan berikut (sini):

"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."

Proses memperbodohkan penyokong PKR, DAP dan PAS berterusan apabila beliau menyatakan bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang”.

8. Ditakdirkan Allah pembentukan Kerajaan 16 September tidak berlaku namun akibat terpengaruh dengan pujukan Anwar, parti SAPP, komponen BN di Sabah bertindak keluar dari BN pada 17 September 2008 (sini). Akibatnya 2 ahli parlimen BN-SAPP mengistiharkan diri sebagai bebas dan menyokong pembangkang. Anwar sendiri mengakui berjumpa dengan Presiden SAPP bagi merealisasikan hasratnya dan membincangkan usul undi tidak percaya terhadap PM (sini). Begitulah ringkasan bagaimana Anwar memperbodohkan pengikutnya melalui projek kerajaan 16 September yang mahu menarik 30 ahli parlimen BN berpihak kepadanya.

9. Rentetan daripada itu, bermulalah kisah di negeri Perak. Pada 25 Januari 2009, ADUN Bota, Dato’ Nasarudin Hashim keluar dari UMNO dan menyertai PKR (sini dan sini). Nizar memuji-muji tindakan ADUN Bota yang melompat parti ini dan menyifatkannya sebagai “bukan tindakan yang tidak bermoral” dan ianya “adalah tindakan yang cerdik” (sini). Gambar di bawah jelas menunjukkan Anwar turut tersenyum girang dengan kejayaannya menarik ADUN Bota lompat parti ke PKR.


10. Sangkaan Nizar bahawa kemasukan ADUN Bota ini akan menguatkanya sebagai MB Perak dan akan menarik lebih ramai ADUN BN keluar parti (sini) ternyata meleset. Tidak sampai sepuluh hari selepas menyertai PKR iaitu pada 4 Februari 2009, ADUN Bota kembali semula ke pangkuan UMNO dan lebih mengejutkan Nizar apabila dua orang ADUN PKR dan seorang ADUN DAP bertindak menjadi ADUN Bebas dan menyokong BN.

11. Pada ketika itu BN telah memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak (BN 28+3=31, DAP,PKR,PAS: 31-3=28). Maka pelbagai cacian dilemparkan oleh Nizar dan para penyokong PKR, DAP dan PAS kepada tiga ADUN yang menjadi bebas tadi. Mereka terlupa, bukankah kerajaan 16 September yang mahu dibentuk Anwar menggunakan kaedah sebegini? Nizar pun terlupa, bukankah tindakan mereka ini bukan tindakan yang tidak bermoral dan ianya adalah cerdik?

12. Karpal Singh dilihat lebih rasional dalam kes peralihan kuasa di Perak. Karpal sendiri mengakui dan menyalahkan Anwar atas apa yang terjadi. Jika Anwar tidak meneruskan pembohongan 16 Septembernya, peralihan kuasa di Perak tidak akan berlaku dan Nizar akan terus menjadi MB hingga hari ini. Lihat video di bawah:



13. Nizar masih belum mahu sedar sekiranya pada PRU-13 kelak pakatan DAP, PKR dan PAS masih memenangi Perak dengan jumlah kerusi yang sama (DAP 18, PKR 7, PAS 6), beliau tidak sama sekali akan dilantik dan diiktiraf DAP untuk menjadi MB semula. Ini kerana pada ketika itu sudah pasti DAP telah meletakkan calon Melayu dari parti mereka di kawasan selamat. Nizar sendiri tahu, beliau terpilih menjadi MB Perak sebelum ini disebabkan DAP tiada ADUN Melayu Islam yang disyaratkan untuk menjadi MB Perak. Apa lagi yang beliau tagihkan dari DAP? Tidakkah beliau dapat membaca helah DAP ini?

14. Sebagai persediaan untuk melantik MB DAP Melayu kelak, DAP beria-ia menarik orang Melayu (sini) khususnya di Perak untuk menyokong dan menyertai mereka. Mungkin dalam konteks ini Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang menyertai DAP dan dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP tidak sampai selepas 24 jam penyertaannya (sini) merupakan calon terbaik untuk menjadi MB Perak nanti. Persoalan sama ada beliau berasal dari Perak tidak penting. Lihat saja bagaimana orang Pulau Pinang boleh membawa Lim Guan Eng untuk menjadi Ketua Menteri mereka.

15. Kesimpulannya, Nizar meroyan gilakan kuasa sebagai MB Perak sehingga ke hari ini berpunca dari tindakan Anwar yang mahu menubuhkan Kerajaan 16 September. Nizar dan penyokong PAS seharusnya insaf bahawa mereka hanyalah kuda tunggangan Anwar dan DAP di Perak. Hari ini telah ramai orang yang sedar mengenainya. Lihat saja berapa ramai ahli Parlimen dan ADUN PKR telah keluar parti. Bukankah tindakan mereka ini cerdik? Kepada Nizar, bila lagi anda mahu jadi cerdik?

Nota kaki:
Majoriti Melayu Perak kini tidak lagi menerima Nizar. Beliau hanya mengharapkan sokongan orang Cina untuk mengembalikan kuasanya sebagai Menteri Besar. Namun DAP bakal meletakkan calon Melayu dalam PRU akan datang. Bagaimana nasib Nizar ketika itu?