Memaparkan catatan dengan label Tian Chua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tian Chua. Papar semua catatan

Isnin, 21 Jun 2010

Khalid Samad Fitnah Hakim Untuk Mempertahankan Tian Chua, Ahli Parlimen Ehsan Mahkamah!

Laporan Utusan Online bertajuk Mahkamah Tinggi kekal keputusan denda Tian Chua (sini), Berita Harian Online bertajuk Denda RM2,000 terhadap Tian Chua kekal (sini) dan Malaysiakini bertajuk Kes Tian Chua: Hakim tidak akan semak keputusan (sini) mengesahkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ghazali Cha tidak akan mengubah keputusannya ke atas Tian Chua dengan mengurangkan denda dari RM 3,000 kepada RM 2,000 bagi mengelakkan berlakunya pilihanraya kecil di Parlimen Batu.

Maka dengan itu, status-quo Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu kini berubah kepada Ahli Parlimen Batu Ehsan Mahkamah.

Penulis masih ingat bagaimana penghinaan berterusan dilemparkan oleh Tian Chua dan penyokong Pakatan Haram kepada YAB Zambry sebagai Menteri Besar Mahkamah selepas YB Nizar gagal dalam permohonannya untuk dikekalkan sebagai MB Perak di Mahkamah Persekutuan.

Jika dilihat, YAB Zambry menjadi Menteri Besar disebabkan Pakatan Haram kehilangan tiga ADUN (31 - 3) yang menyebabkan BN memperoleh majoriti (BN 28 + Bebas 3). Alasannya kukuh, Pakatan Haram hilang sokongan ADUN.

Dalam kes Tian Chua hari ini, beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman. Beliau sepatutnya hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. Namun atas ehsan mahkamah yang tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil atas faktor kos yang besar, maka Tian Chua kekal menjadi YB atas ehsan itu.

Fitnah Khalid Samad
Dalam mempolitikkan isu ini, Pakatan Haram khususnya Khalid Samad di dalam satu ceramah yang dapat ditonton dalam Malaysiakini.TV bertajuk BN afraid of Batu by-election, says PAS’ Khalid (sini) telah melemparkan fitnah kepada BN dan hakim-hakim yang terlibat dalam kes Tian Chua.

Berikut merupakan ayat fitnah Khalid di dalam video berkenaan:
“Tiba-tiba arahan yang diberi kepada hakim yang pertama untuk mendapati Tian Chua bersalah, kenakan denda 3 ribu, penjara 6 bulan, tiba2 datang pada hakim yang kedua pula bila dibuatkan rayuan, dapat arahan yang berbeza.”

Khalid menaburkan fitnah kononnya BN telah mengarahkan hakim yang pertama (Majistret Mohd Faizi Che Abu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur) agar menjatuhkan hukuman agar Tian Chua hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan dapat diadakan pilihanraya kecil di Parlimen Batu. Tetapi, kononnya, apabila BN hanya mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti yang kecil di Hulu Selangor dan kekalahan di Sibu; telah menyebabkan BN mengarahkan pula hakim kedua (Hakim Datuk Ghazali Cha, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) untuk meringankan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Tian Chua. Ia bertujuan agar pilihanraya kecil di Parlimen Batu tidak perlu diadakan. Kononnya kerana BN takut kalah. Begitulah betapa busuknya fitnah Khalid Samad kepada BN dan sistem kehakiman negara. Pemuda UMNO perlu melihat fitnah ini sebagai sesuatu yang serius dan penulis mengesyorkan supaya laporan polis dibuat ke atas Khalid kerana memfitnah.

Khalid sebenarnya terlupa bahawa sekirannya Tian Chua hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, beliau tidak boleh menjadi calon pilihanraya untuk tempoh lima tahun. Ini bermakna untuk pilihanraya umum akan datang, Tian Chua tidak boleh bertanding. Bukankah itu lebih elok bagi BN? Ia akan mengurangkan Ahli Parlimen Pakatan Haram yang sering “menyalak” dan membuat bising di Dewan Rakyat tanpa fakta.

Jika pilihanraya kecil diadakan di Parlimen Batu sekarang ini, penulis tidak merasakan BN akan memenanginya, tetapi apa yang lebih penting ialah orang Melayu (UMNO) dan parti komponen BN khususnya MCA dan Gerakan terus mendapat mesej bahawa majoriti masyarakat Cina masih belum kembali menyokong BN. Itu penting. Supaya mereka terus bekerja untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya umum yang akan datang. Mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya umum adalah jauh lebih penting dari memenangi pilihanraya kecil parlimen Batu.

Kesimpulannya, Khalid terus membuktikan PAS sanggup untuk menggadai segala-galanya malah sanggup menaburkan fitnah demi untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Dalam kes Tian Chua ini, Ahli Parlimen Batu Ehsan Mahkamah ini dipertahankan Khalid memandangkan tiada lagi orang seberani beliau untuk menjadi hulubalang Anwar setelah ketiadaan Ezam (baca sini). Sebab itu semua pihak perlu jelas dan ingat bahawa PAS itu adalah parti politik dan bukannya agama. Fitnah dan politik kotor merupakan mainan mereka untuk memperoleh kuasa. Sokong Islam Anda Selamat, Sokong PAS Anda Sesat!

Nota kaki:
Penulis amat tertunggu tindakan dari Pemuda UMNO bagi menangkis fitnah Khalid ini. Bukankah Presiden UMNO mengarahkan serangan balas dilakukan kepada Pakatan Haram? Soalnya, beranikah Pemuda UMNO?

Ahad, 20 Jun 2010

Pengajaran Besar dari Kes Tian Chua kepada Rakyat Malaysia

Sejarah politik tanah air telah mematri Ezam Mohd Noor sebagai hulubalang terhebat yang pernah dilahirkan PKR untuk mempertahankan Anwar Ibrahim. Ezam berjuang kerana Anwar sehingga sanggup dipenjarakan dua kali. Ezam bukan berjuang selepas Anwar dibebaskan dari penjara seperti Azmin Ali tetapi Ezam bersama-sama Anwar sejak bekas idolanya itu di dalam kabinet Tun Mahathir, dipecat dan sehinggalah dibebaskan. Ezam adalah PKR dan PKR adalah Ezam, itu adalah kesimpulan mudah untuk membayangkan kesetiaan Ezam kepada Anwar satu ketika dulu.

Selepas Ezam meninggalkan PKR atas keraguannya terhadap perjuangan Anwar yang sanggup mengenepikan kepentingan agama dan bangsa semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri, ramai yang cuba untuk mengambil tempat Ezam sebagai hulubalang PKR. Tiga orang yang dilihat paling beria-ia untuk merebut jawatan berkenaan ialah Tian Chua, Gobalakrishnan dan Shamsul Iskandar.

Dikalangan tiga nama ini, hanya Tian Chua yang dilihat benar-benar ikhlas berjuang untuk Anwar. Mungkin kerana beliau sebenarnya berasal dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (kemudiannya menjadi Parti Rakyat Malaysia – kepala lembu) dan bukan seorang pengikut Anwar yang lahir setelah beliau dibebaskan seperti Gobala dan Shamsul.

Hari ini, kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen Batu menjadi tandatanya ramai pihak. Di kalangan pengamat dan pengamal undang-undang wujud dua pandangan ke atas keputusan Mahkamah yang telah meringankan hukuman Tian Chua terhadap tuduhan menggigit dan menghalang anggota polis melaksanakan tugas pada Disember 2007.

Satu pihak berpandangan kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen kekal dan satu pihak lagi berpandangan walaupun hukuman telah diringankan ke atas Tian Chua tetapi beliau tetap hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Perbincangan ini timbul kerana peruntukan perlembagaan Perkara 48 menyatakan seseorang wakil rakyat akan hilang kelayakan sekirannya “dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang dari satu tahun atau didenda tidak kurang dari dua ribu ringgit dan tidak menerima pengampunan”. Karpal Singh sendiri mengakui Tian Chua akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berdasarkan kepada kes Ahli Parlimen Mengelembu pada tahun 1975 yang hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah didenda RM 2,000.00 atau penjara enam bulan.

Penulis tidak berniat untuk membincangkan sama ada kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen Batu gugur atau tidak tetapi apa yang ingin penulis fokuskan ialah satu sisi lain yang mungkin tidak ternampak oleh sesetengah pihak. Sebelum itu, adalah lebih baik kita memahami latar belakang kes secara ringkas melalui kronologi berikut:

11 Disember 2007
- BERSIH mengadakan perhimpunan haram di hadapan Bangunan Parlimen untuk memprotes pindaan perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. Tian Chua menyertai perhimpunan ini.

11 Januari 2008
- Tian Chua didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan konstable Rosyaidi Anuar di depan Bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi, 11 Disember 2007 ketika mengikuti perhimpunan BERSIH. Majistret menetapkan ikat jamin ke atas beliau ialah sebanyak RM 3,000.00.

18 Mei 2009
- Tian Chua diarah membela diri atas tuduhan mencederakan anggota polis dengan menggigit dan menghalangnya untuk menjalankan tugas pada 11 Disember 2007.

22 Oktober 2009
- Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati Tian Chua bersalah dan menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM 3,000. Walau bagaimanapun, penangguhan hukuman dibenarkan untuk proses rayuan.

17 Jun 2010
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Tian Chua atas kesalahannya tetapi mengurangkan jumlah denda kepada RM 2,000.00 atau dua bulan penjara. Hakim meringankan hukuman berkenaan atas alasan bagi mengelakkan berlakunya pilihanraya kecil di Parlimen Batu.

Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat dari kronologi di atas ialah kejadian Tian Chua menggigit anggota polis ketika menyertai perhimpunan BERSIH pada 11 Disember 2007 sememangnya berlaku. Ini kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun 2010 tidak membebaskan Tian Chua dari pertuduhan tetapi sebaliknya hanya meringankan hukuman atas alasan untuk mengelakkan berlakunya pilihanraya kecil.

Pengajaran Besar
Apa yang ingin sebenarnya penulis garapkan daripada kes ini ialah mengenai pengajaran besar yang dapat kita peroleh iaitu walaupun seseorang itu melakukan kesalahan yang nyata dan didapati bersalah oleh mahkamah namun atas faktor budi bicara hakim maka hukuman ke atasnya boleh dikurangkan.

Dalam kes Tian Chua ini, portal-portal dan blog-blog pro-pembangkang menampakkan seolah-olah Tian Chua bebas dari tuduhan ke atasnya sedangkan hakikat sebenar ialah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya meringankan hukuman ke atasnya bagi mengelakkan pilihanraya kecil dan bukannya membebaskan beliau.

Mengambil pengajaran besar dari kes Tian Chua ini, cuba kita lihat semula keputusan penghakiman pembebasan Anwar Ibrahim yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 yang menyaksikan beliau dibebaskan dari menjalani hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan liwat (sini).

Jika diteliti keputusan alasan penghakiman berkenaan, ternyata barisan peguam Anwar pada ketika itu (turut dianggotai oleh Zulkifli Nordin yang kini menjadi Ahli Parlimen Konsesus Bebas kerana tidak lagi mempercayai Anwar) menggunakan pendekatan “serangan” ke atas peribadi Azizan (mangsa liwat) untuk menimbulkan keraguan hakim.

Sebab itu jika kita bijak dan mahir meneliti, kita dapat melihat pendekatan yang sama turut digunakan oleh barisan peguam Anwar terutamanya Karpal Singh dalam mempertikaikan kredibiliti Saiful Bukhari sebagai saksi utama kes liwat yang sedang dihadapi Anwar di mahkamah ketika ini.

Walau bagaimanapun, sesuatu yang amat menarik dan sengaja dibiarkan tidak nampak oleh para penyokong Anwar sejak dulu hingga sekarang di dalam rumusan alasan penghakiman pembebasan berkenaan ialah bait-bait yang berikut:

“To summarise our judgment, even though reading the appeal record, we find evidence to confirm that the appellants were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen”

Ini bermakna, walaupun Anwar dibebaskan dari menjalani hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan liwat namun ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa Anwar terlibat di dalam kegiatan homoseksual dan kejadian liwat di Tivoli Villa itu sememangnya berlaku.

Mungkin ini sebenarnya dapat menerangkan mengapa sebahagian pemimpin semasa dan bekas pimpinan Pakatan Haram mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu kehilangan undi apabila ditanya atau membicara persoalan mengenai moral Anwar. Antara mereka ialah Mat Sabu (orang yang mencipta gelaran Anwar Ibrahim Al Juburi), Allahyarham Hassan Shukri, Dato Harun Din dan Taib Azamuddin.

Oleh itu, mungkin mereka yang tidak memahami mengapa Anwar tidak mahu bersumpah sejak pertuduhan liwat pertamanya dahulu sehingga pertuduhan sekarang akan mulai memahaminya setelah membaca artikel ini. Ataupun mereka ini sebenarnya telah sedia mengetahui perkara berkenaan namun atas ketaksuban membuta tuli, perilaku moral negatif Anwar sanggup dilupakan asalkan dapat menaikkan beliau sebagai Perdana Menteri dan menjatuhkan BN.

Inilah sebenarnya yang ingin dikongsikan penulis, satu pengajaran besar dari kes Tian Chua. Walaupun dilepaskan namun ia tidak bermakna kejadian itu tidak berlaku. Sebab itu kita tidak perlu hairan, orang akan terus menyatakan Anwar terlibat dalam kegiatan homoseksual dan liwat kerana bukti dan mahkamah yang telah memutuskan begitu. Bukan baru-baru ini tetapi lebih dari enam tahun yang lalu.

Nota kaki:
Penulis ingin benar mengetahui mengapa Mat Sabu tak pernah memohon maaf atas pemberian gelaran Al Juburi kepada Anwar?