Ahad, 11 April 2010

Kisah Benar: Analisa Malaysiakini versi Bahasa Melayu Berat Sebelah

1. Jelak! Itu kata ringkas yang dapat membayangkan perasaan penulis terhadap portal Malaysiakini setelah membaca versi Bahasa Melayu (BM) perbandingan yang dibuat dalam menganalisa jemputan YAB Najib ketika membentangkan Model Ekonomi Baru (MEB) kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk pulang ke tanah air dan memberikan sumbangan mereka khususnya dalam pembangunan ekonomi negara.

2. Mengapa dalam versi BM Malaysiakini sengaja melebihkan pengkisahan “Kisah Benar” rakyat Malaysia di luar negara yang enggan pulang (sini) berbanding dengan rakyat Malaysia yang mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air walaupun telah mengecapi kemewahan di sana (sini)?

3. Penulis tidak menolak “kemungkinan” Malaysiakini ada mengarang secara panjang lebar mengenai rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dalam versi Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, tetapi apa yang perlu dilihat ialah mengapa mereka dengan segaja menggunakan saluran BM untuk melebihkan kisah rakyat Malaysia di luar negara yang “bencikan” Malaysia dan seolah-olah berbangga sekiranya menjadi warganegara luar.

4. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila artikel berkenaan turut memuatkan penceritaan “Mengapa saya tinggalkan Malaysia?” oleh lima individu yang turut disertakan gambar mereka berbanding dengan artikel “Kenapa saya pulang ke Malaysia?” yang langsung tiada penceritaannya.

5. Penceritaan bermula oleh Farid Tan yang menceritakan bagaimana beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) ketika berkhidmat dengan Bank Bumiputra dan tidak pulang ke Malaysia kerana krisis kewangan yang berlaku pada 1997/98. Selanjutnya beliau menceritakan mengenai kebaikan AS yang memberikan sistem pendidikan yang baik kepada anaknya dan peluang kepadanya untuk menjadi seorang yang berjaya di sana. Farid Tan terlupa ataupun sengaja buat-buat lupa peluang “langkah pertama” yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat di Bank Bumiputra (ya, Bank BUMIPUTRA) sehingga membuka peluang kepadanya untuk berhijrah ke AS. Kemewahan yang dikecapinya hari ini adalah berpunca dari peluang yang diberikan pemegang saham terbesar Bank Bumiputra (sekali lagi, BUMIPUTRA). Tidakkah beliau sedar siapakah pemegang saham yang terbesar di bank itu?

6. Eldina Razak di China pula yang berhijrah keluar dari Malaysia pada 1993 ketika menjadi pelajar tidak akan kembali ke Malaysia kerana beliau mahu “kebebasan dari keluarga dan masyarakat” yang tidak diperolehinya sejak berusia 17 tahun. Beliau kisahkan sewaktu remaja beliau bersama rakan pernah ditahan polis kerana mereka keluar di malam hari dan mendakwa “diugut” oleh polis berkenaan untuk memaklumkan ibu bapa mereka. Marah sungguh beliau atas peristiwa berkenaan sehingga mendakwa polis itu “sebenarnya cuba mendapatkan sogokan”. Wanita ini sebenarnya berfikiran amat liberal dan sesuai dengan pendekatan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Beliau tidak dapat menerima nilai-nilai masyarakat Malaysia dan budaya Timur. Orang sebeginilah yang menjahanamkan pemikiran ketimuran anak muda zaman ini. Jika beliau ingin kembali ke Malaysia, tunggulah sehingga Anwar Ibrahim menjadi PM. Itupun jika Anwar jadi PM. Jika tidak, teruskan angan-angan anda seperti retorik 16 Septermber-nya.

7. Isabel Lee yang bekerja di Singapura pula merasakan rakyat Malaysia tidak progresif dan tidak agresif kerana “begitu selesa” selain daripada faktor ekonomi yang menjadikan alasan beliau untuk tidak kembali ke Malaysia. Begitu juga Jaqualine George, bekas pelajar di Australia yang kembali semula ke negara berkenaan yang melihat kepada faktor ekonomi. Kedua-dua mereka ini secara ringkasnya melihat kepada pentingnya ekonomi diri diperkayakan untuk berjaya dalam hidup. Malaysia tidak memerlukan rakyat yang “pentingkan diri” (utamakan kekayaan diri sendiri) dengan menjadikan alasan ekonomi untuk menyanjung negara luar. YAB Najib sepatutnya tidak membuka peluang kepada mereka ini untuk menguasai ekonomi negara kerana sekiranya diberikan peluang, mereka akan mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan negara.

8. Khoo Ghaik Cheng, seorang pensyarah di Australia, begitu lantang menyatakan tidak akan kembali kerana merasakan kaum minoriti di Malaysia “tidak dihargai”. Beliau juga “tidak mahu melihat orang yang dilantik oleh Umno atau BN mengisi jawatan penting di universiti yang hanya menjaga kepentingan parti dan bukannya universiti ataupun rakyat Malaysia”. Penulis bersetuju sekiranya beliau tidak kembali ke Malaysia dan jika ditarik semula kerakyatannya, penulis amat bersyukur. Kerajaan yang dipilih adalah dari majoriti rakyat. Ini bermakna menjadi hak kerajaan itu untuk menentukan dasar negara yang bagaimana ingin direncanakan. UMNO/BN menggunakan pendekatan kesaksamaan, agihan ikut keperluan dan bukannya semberono agih secara sama rata. Tunggulah sehingga DAP, PKR dan PAS memerintah Malaysia sekiranya anda menginginkan agihan sama rata di Malaysia ini! Ketika itu, Hak Istemewa Orang Melayu dan agama Islam sebagai Agama Persekutuan akan dihapuskan pakatan berkenaan. Sudah pasti anda boleh berbesar hati dengan kepimpinan mereka.

9. Fokus penulis bukan untuk melihat kepada alasan-alasan “pengkhianat negara” berkenaan, tetapi kepada pendekatan Malaysiakini untuk mencenderungkan berita untuk melihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah diuruskan dengan “teruk, gagal dan mengecewakan”. Malaysiakini yang dilaung-laungkan sebagai media “adil, seimbang dan bebas” oleh pihak pembangkang sebenarnya tidak mementingkan kestabilan sosial dan tata kenegaraan dalam penghasilan artikel dan rencana mereka. Mereka lebih mementingkan kepada sisi berita yang “boleh diriuhkan” oleh masyarakat. Inilah yang diiginkan oleh pihak pembangkang.

10. Dalam konteks penulisan yang dibincangkan, Malaysiakini sedar majoriti pembaca (pengundi) Melayu akan membaca dalam versi BM (percuma dan mudah difahami) berbanding versi BI (perlu dilanggan dan bukan bahasa ibunda). Atas faktor itu mereka memilih untuk memperbanyakkan penceritaan yang boleh “menggugat kepercayaan” pembaca (pengundi) Melayu terhadap kerajaan. Selayaknya, gelaran sebagai “media alternatif” yang diberikan perlu ditukar kepada “media pro-pembangkang”.

11. Lihat juga bagaimana dalam versi BI, mereka memberikan pembaca membaca komen-komen mengenai sesuatu isu secara percuma (yang boleh dikatakan kesemuanya menghentam kerajaan). Tidak pernah penulis membaca komen yang memuji kerajaan di dalam ruangan berkenaan. Liciknya Malaysiakini mempengaruhi minda pembacanya untuk membenci kerajaan, UMNO dan BN.

12. Penulis menyeru agar semua pembaca menilai semula apa saja artikel yang dipaparkan Malaysiakini kerana kebanyakkannya “menangkap minda separa sedar” dan mempengaruhinya melalui propaganda tersembunyi. Propaganda itu jika baik kepada negara tidak mengapa, tetapi sehingga kini, penulis melihat kebanyakkannya memburukkan kerajaan (pentadbir negara dipilih majoriti rakyat). Oleh itu, secara ringkasnya, di dalam membaca Malaysiakini, jangan lupa perkara ini: “Baca boleh, percaya? Fikir dulu!”

Nota kaki:
Penulis tidak melanggan Malaysiakini dalam versi BI kerana tidak mahu “menyumbang” kepada media yang tidak mementingkan kestabilan negara!

5 ulasan:

  1. artikel menarik...mohon dipinjam untuk disebarkan..

    BalasPadam
  2. silakan tuan. moga bermanafaat. saya juga mohon linkkan blog tuan ke blog ini. terima kasih.

    BalasPadam
  3. kawe pun mohon pinjam artikel untuk di sebarkan

    BalasPadam
  4. I have a rule of thumb, never trust these bastards.
    Good riddence.

    BalasPadam

Komen puas-puas agar anda berpuas hati! Pastikan anda betul-betul puas hati!