Rabu, 8 September 2010

Perutusan Kemerdekaan: Najib ajak kukuh perpaduan, Guan Eng sibuk hentam UMNO! Merdeka Guan Eng oi, Merdeka!

Umat Islam di seluruh negara di kala ini sedang sibuk sama ada untuk meningkatkan ibadat di hari-hari terakhir Ramadhan atau bertungkus-lumus melengkapkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tahun ini, rakyat Malaysia amat bertuah kerana menyambut Ramadhan dan Syawal ketika negara berada di dalam sambutan ulangtahun Kemerdekaan negara yang ke-53. Kesempatan ini membolehkan seluruh umat Islam di Malaysia menginsafi dan bersyukur betapa bertuahnya hidup di bumi Malaysia ini.

Bertuahnya umat Islam di Malaysia adalah kerana bukan saja dapat hidup dengan aman damai bersama rakan-rakan dari kaum-kaum lain di atas nikmat kemerdekaan yang diperoleh malah kedamaian itu membolehkan kita beribadat tanpa diganggu peluru atau kekacauan sebagaimana yang dihadapi oleh umat Islam lain di luar negara.

Keamanan dan kedamaian yang ada pada hari ini sebenarnya adalah berteraskan kepada perpaduan antara kaum yang diperoleh atas persetujuan dan persefahaman politik sejak tahun 1948 lagi. Ia dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Sebab itulah YAB Najib melalui Perutusan Kemerdekaannya (sini) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengukuhkan perpaduan sesama kita. Malah beliau dua hari lepas (6 September 2010) menegaskan agar Kontrak Sosial tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak (sini).

Jika dilihat kepada Perutusan Kemerdekaan Najib, selain intipati utama dari awal hingga akhirnya mengajak rakyat untuk menjaga dan mengukuhkan perpaduan, beliau juga mengkisahkan mengenai sumbangan Perdana Menteri terdahulu kepada negara. Selain itu, Najib turut menyentuh mengenai langkah kerajaan untuk mempersiapkan Malaysia bagi mencapai Wawasan 2020 melalui pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP).

Apa yang menariknya ialah tiada satu kenyataan pun yang diucapkan Najib menghentam pemimpin atau mana-mana parti di dalam Pakatan Haram. Ini bermakna, Najib bijak membezakan platform, di mana ruang untuk mengurus negara dan di mana pula ruang untuk berpolitik.

Berbeza dengan Lim Guan Eng, Perutusan Kemerdekaannya (sini) sarat dengan menghentam UMNO dan masuk bakul angkat sendiri! Agak menghairankan, mengapa Guan Eng tidak pula menghentam rakan-rakan komponen BN yang lain. Yang dihentamnya hanya UMNO sahaja? Adakah ini disebabkan UMNO terdiri daripada orang Melayu Islam dan komponen yang lain tidak?

Lihat saja bagaimana dari awal hingga akhir perutusan berkenaan Guan Eng tidak habis-habis menyalahkan UMNO. Antaranya, beliau mendakwa negara sedang berpecah belah dan menyatakan kononnya, “Pulau Pinang terus menjadi mangsa serangan oleh pelampau dan seteru UMNO”. Bagi tujuan itu, beliau memberikan contoh-contoh yang sememangnya benar berlaku di Pulau Pinang seperti pengharaman perarakan Maulidur Rasul, pengharaman Bazar Ramadhan dan penggantian nama YDP Agong dengan namanya. Guan Eng mendakwa kepimpinan beliau kononnya lebih telus melalui dasar CAT dan rasuah berjaya dibanteras. Itu pun nak dikaitkan juga dengan UMNO.

Ini membuktikan, Guan Eng bukan saja tidak tahu untuk membezakan platform, di mana patut berpolitik dan di mana tidak, malah beliau juga sebenarnya merupakan seorang yang akan mempolitikkan segala perkara demi untuk kelansungan politik dan kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi di Pulau Pinang.

Lihatlah perbezaan ibarat di antara langit dan bumi di antara Najib dan Guan Eng. Ketika Najib sibuk bekerja dan mengukuhkan perpaduan rakyat, Guan Eng pula melihat segala-galanya adalah politik dan segala-galanya adalah peluang untuk mengukuhkan cengkaman.

Marilah kita berdoa agar Najib terus direstui oleh Allah SWT untuk mentadbir negara ini dengan jayanya. Juga, kita tidak harus lupa untuk memohon agar negara ini tidak jatuh ke tangan pihak yang akan menjadi penghianat kepada agama, bangsa dan negara sendiri. Amin.

1 ulasan:

Komen puas-puas agar anda berpuas hati! Pastikan anda betul-betul puas hati!