Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Papar semua catatan

Khamis, 29 April 2010

Saman Utusan: Zaid “pejuang demokrasi” low class!


1. Sebaik saja penulis membaca artikel Malaysiakini bertajuk Zaid fail petisyen cabar pilihan raya (sini) bertarikh 28 April 2010, kesimpulan mudah yang dapat penulis buat ialah penduduk Hulu Selangor seharusnya bersyukur kerana P. Kamalanathan (bukan Zaid) yang terpilih sebagai wakil rakyat mereka pada 25 April yang lalu.

2. Penulis tidak berniat untuk mengulas tindakannya yang mahu memfailkan petisyen untuk mengistiharkan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai tidak sah dan terbatal, namun artikel ringkas ini akan memfokuskan mengenai niatnya yang mahu menyaman Utusan Malaysia yang dakwanya telah “melabelkannya sebagai kaki botol”.

3. Tindakan Zaid yang mahu menyaman Utusan Malaysia menampakkan beliau sebagai seorang “pejuang demokrasi” yang low class, auta dan cakap tak serupa bikin. Cuba baca artikel Dakwaan kaki arak, judi – Zaid tak saman (sini) bertarikh 20 April 2010 yang turut diambil dari Malaysiakini.

4. Di awal-awal artikel berkenaan Zaid menyatakan dia tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang “mencemarkan imejnya” (dakwaan kaki arak dan kaki judi oleh blogger) kerana menganggap “tindakan menyaman itu akan menyekat kebebasan bersuara di negara ini”.

5. Tambahnya lagi, jika beliau mengambil tindakan menyaman itu maka langkah berkenaan akan menyebabkan beliau “tidak dapat membuat perkara lain dalam hidup” beliau. Walaupun pedih, Zaid turut “mengalu-alukan pendedahan itu yang disifatkannya sebagai perubahan dalam politik” melalui artikel Selepas arak, Zaid dituduh ‘kaki judi’ (sini). Semua ini diucapkan lima hari sebelum pilihan raya.

6. Namun selepas tewas dalam pilihan raya, hanya tiga hari tempoh masa yang diambil Zaid (28 April) untuk membuat keputusan bebeza dengan apa yang diucapkannya pada 20 April. Sekelip mata Zaid berubah!

7. Berdasarkan pernyataannya terdahulu, tindakan samannya ini boleh dikatakan sebagai satu usaha beliau untuk menyekat kekebasan bersuara di negara ini. Ini juga bermakna selepas ini Zaid tidak akan dapat berbuat apa-apa dalam hidupnya selain dari berhadapan dengan usaha samannya itu. Dan juga, langkah beliau ini dilihat sebagai usaha menyekat perubahan politik yang dilaung-laungkan oleh puak PKR, PAS dan DAP, dari politik baru berpatah balik semula ke politik lama. Tidak sama seperti ucapan, cakap tak serupa bikin, ringkasnya auta!

8. Kesimpulannya, tindakan saman Zaid ini amat jauh menyimpang dari hala tuju seorang pejuang demokrasi yang sebenar, ataupun sekurang-kurangnya amat jauh dari apa yang beliau sendiri perkatakan. “Tokoh” dalam bidang guaman (kononnya) dan bekas menteri yang bertanggungjawab kepada undang-undang (walaupun dilantik atas ehsan PM setelah tidak dicalonkan dalam pilihan raya) ini melakukan tindakan berkenaan semata-mata kerana beliau tewas dalam pilihan raya. Penulis percaya, sekiranya beliau yang memenangi pilihan raya berkenaan, jangankan kata hendak saman, Utusan pula akan dipuji kerana mempromosikannya. Alahai.....

Nota kaki:
Agaknya beginilah mentaliti pemimpin PKR, PAS dan DAP. Sebelum pilihan raya cakap lain, lepas pilihan raya buat lain. Tak hairanlah kalau banyak perkara yang dijanji tapi tidak tertunai di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Bulan nak di bawa ke riba la katakan.

Kredit gambar: minaq_jinggo (sini)

Isnin, 26 April 2010

PAS serik berkempen untuk PKR!

1. Pertamanya, penulis bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. atas kemenangan Barisan Nasional di Hulu Selangor. Jutaan terima kasih diucapkan kepada 24,997 pengundi yang menaruh kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali mewakili mereka di Dewan Rakyat. Walaupun penulis bukan sesiapa di dalam BN dan di Hulu Selangor namun kesejahteraan dan rahmat yang dibawa BN secara keseluruhannya selama ini amat membahagiakan penulis.

2. Dalam banyak-banyak artikel yang memperkatakan mengenai keputusan pilihanraya kecil ini, sama ada yang meraikan kejayaan BN atau sikap sindrom penafian PKR, PAS dan DAP yang tidak habis-habis menyalahkan BN atas kekalahan mereka, penulis amat tertarik dengan artikel Malaysiakini bertajuk Pakatan tenangkan penyokong di Hulu S’langor (sini).

3. Membaca ratapan kesedihan Zaid setelah tewas kepada P. Kamalanathan di Hulu Selangor sehingga menyebabkan anak gadisnya menangis di pentas amat mendatangkan “kesyahduan” di hati penulis. Beliau memberikan alasan ketewasannya berpunca dari perbuatan “membeli undi’ yang “dihalalkan” di negara ini dan dalam konteks di Hulu Selangor, perbuatan berkenaan “berlaku siang dan malam”. Mungkin Zaid berani untuk menyatakan demikian kerana beliau mengetahui parti yang diwakilinya (PKR) melakukan perbuatan “membeli undi” ini sepanjang tempoh berkempen. Cuba lihat gambar di bawah (dari AgendaDaily) dan ulasan Nobisha di sini.


4. Kecewa benar Zaid dan BN dipersalahkannya 200%. Zaid seharusnya memuhasabah diri dan insaf bahawa kemenangan BN ini telah ditakdirkan Allah. Jangan jadi macam Anwar, cakap saja pandai, Kerajaan 16 September tidak menjadi kerana Allah tidak izinkan (sini), tetapi pada masa yang sama, salahkan BN, salahkan rakyat, salahkan polis, salahkan semua kerana tidak menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Apa punya malang Malaysia dapat Ketua Pembangkang sebegini?

5. Berbalik kepada perhimpunan di Stadium Mini Kuala Kubu Bahru, sebenarnya ia diadakan untuk “meraikan kemenangan” PKR, namun malangnya bertukar menjadi “majlis menyedapkan hati” yang duka lara. Sebab itu jika dilihat jumlah kehadiran ketika proses pengiraan undi mencecah lebih seribu orang. Siap dengan layar putih disediakan di sana. Sejurus selepas mengetahui kekalahan Zaid, maka para penyokong mula melangkah longlai meninggalkan stadium.

6. Sudahlah kecewa dengan kekalahan, pedihnya hati amatlah dirasai penyokong PKR, PAS dan DAP kerana Anwar Ibrahim sendiri melarikan diri awal-awal lagi sebaik saja beliau mengetahui Zaid kalah di Hulu Selangor. Tiada langsung rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama penyokong untuk menerima kekalahan. Cuba bayangkan sekiranya Zaid yang menang, sudah pastilah Anwar akan menjadi orang pertama yang berada di pusat penjumlahan undi bagi menunjukkan kepada dunia bahawa dek kerana faktor dan aura beliaulah Zaid menang di Hulu Selangor. Kononnya!

7. Selain ketiadaan Anwar, satu lagi situasi menarik yang berlaku ialah tiada seorang pun “orang besar” PAS yang hadir untuk bersama-sama bagi menenangkan hati para penyokong. Cuba lihat gambar di bawah, langsung tiada “hubaya-hubaya” PAS di sana. Perkara ini diakui sendiri oleh penyokong PAS dan keadaan sedemikian amat berbeza dari malam sebelumnya yang penuh sesak dengan penyokong Zaid bagi meraikan “pra-kemenangannya” di malam terakhir kempen (sini).


8. Keadaan ini jelas menunjukkan bukan saja penyokong PAS yang amat kecewa dengan Anwar kerana memilih Zaid tetapi juga pimpinan atasan PAS. Mereka malu kerana terpaksa mempertahankan “Haji Zaid” (gelaran yang diberikan semata-mata untuk kempen di Hulu Selangor. Lihat sini dan sini.) yang bermasalah moral dan dikritik oleh mereka sendiri sebelum ini (sini). Ia amat memalukan PAS yang terpaksa menjilat semula ludah sendiri. Jangan dikatakan Nik Aziz dan Hadi Awang, pimpinan PAS Selangor pun langsung tidak menunjukkan muka.

9. Ini sudah semestinya petunjuk jelas bagi membuktikan PAS sudah serik untuk berkempen untuk PKR. Sudahlah jentera mereka diperkudakan dek kerana lumpuhnya jentera PKR akibat tindakan ahlinya keluar meninggalkan parti secara beramai-ramai, peruntukan kempen untuk PKR pun mereka terpaksa keluarkan. Entah hilang ke mana perginya peruntukan kempen yang dijanjikan PKR kepada PAS dan wang-wang kutipan sumbangan penyokong setiap kali ceramah diadakan (sini)? Yang peliknya, jentera PKR yang nyawa-nyawa ikan itu kelihatan mewah pula dari segala aspek. Malang sungguh PAS.

10. Bayangkan sekiranya jentera PAS yang datang jauh dari Wakaf Che Yeh dan Kodiang, minyak kereta dan tol sudah cukup untuk memeningkan, inikan pula untuk menampung kos sara kempen untuk sembilan hari. PKR sekurang-kurangnya patut menyediakan makanan untuk petugas PAS sepanjang mereka berada di Hulu Selangor namun jangankan kata makanan, air mineral pun tarak.

11. Akhirnya, pilihanraya kali ini amat memberikan pengajaran kepada PAS bahawa selama ini mereka diperkudakan oleh Anwar untuk memperoleh undi orang Melayu Islam. PAS sudah pasti dapat melihat bagaimana DAP yang hanya menggoyangkan kaki langsung tidak membantu. DAP langsung tidak ditegur Anwar, mungkin kerana Anwar menyedari undi Cina sememangnya akan menyebelahi Zaid.

12. Sewajarnya PAS memeriksa kembali kedudukan mereka di dalam gabungan tidak berdaftar itu. Sekiranya PAS masih mahu tidur di bantal yang sama dengan PKR dan DAP, mereka harus bertegas khususnya dengan Anwar Ibrahim. PAS tidak perlu takut kerana di kalangan tiga parti ini belum ada wakil rakyatnya yang menjadi bebas atau melompat ke BN jika dibandingkan dengan parti Anwar Ibrahim itu. PAS perlu tunjukkan nilai mereka yang sebenar kepada Anwar! Jangan hanya kerana Anwar bermimpi untuk jadi PM maka segala kemahuannya diturutkan! Tunjukkan yang “hubaya-hubaya” PAS juga ada telor! Namun persoalannya, beranikah PAS berbuat demikian?

Nota kaki:
Penulis terfikir, di manakah agaknya Zaid akan diletakkan Anwar dalam Pilihanraya Umum Ke-13 bagi memastikan beliau berjaya ke Dewan Rakyat? Di Hulu Selangor atau di Kota Bharu? Ataupun di tempat baru? Hanya Anwar yang dapat menentukannya, maklumlah Pakatan Rakyat tu kan dia punya!

Ahad, 25 April 2010

Hulu Selangor, jangan lupa ini! Selamat mengundi!



1. Pengundi di Hulu Selangor akan melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini bagi memilih wakil untuk diangkat ke Dewan Rakyat.

2. Penulis mengharapkan mereka memilih calon Barisan Nasional atas dua faktor asas berikut:

i. Barisan Nasional menurunkan anak Selangor untuk bertanding di Parlimen Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Kelebihan anak Selangor ini ialah beliau lebih memahami aspirasi tempatan berbanding calon PKR yang dibawa dari Kelantan yang langsung tidak kenal Hulu Selangor sebelum ini.

ii. Calon Barisan Nasional lebih "bersih" dari aspek tata moral diri berbanding calon PKR. Ini sangat penting kerana wakil rakyat yang bakal mewakili mereka akan membawa imej dan nilai kawasan yang diwakili. Maka pilihlah calon yang boleh memberikan imej yang "bersih"bagi Hulu Selangor.

3. Selamat mengundi dan jangan lupa untuk memangkah Barisan Nasional! Terima kasih.

Khamis, 22 April 2010

Malaysiakini "Perli" PAS!

1. Membaca artikel Malaysiakini bertajuk Nik Aziz Gempur Hulu S'gor mulai esok (sini) membuatkan penulis berasa "gerun" kerana "General Terbesar "PAS akan turun habis-habisan menghumbankan peluru mereka untuk membela Zaid Ibrahim dan menghentam YAB Najib, BN dan Kerajaan Persekutuan mulai esok hari.

2. Maka semua hulubalang dan panglima BN perlulah bersiap sedia untuk menangkis serangan "Gempur" dari Nik Aziz yang dijangka akan "menghilangkan" terus "dosa-dosa" Zaid Ibrahim, Anwar Ibrahim dan PKR ketika berkempen di Hulu Selangor. Kehadiran Nik Aziz dijangka "akan menterbalikkan" sokongan yang kini lebih 70% berpihak kepada BN.

3. Bukan untuk menafikan kemampuan kata-kata yang bakal keluar dari mulut Nik Aziz yang dianggap "keramat" oleh penyokong DAP, PKR dan PAS untuk menarik undi; namun penulis merasakan agak pelik, adakah Malaysiakini tidak melihat tahap kesihatan dan "kelaratan" Nik Aziz ketika ini. Cuba lihat gambar ketika beliau mengerjakan umrah yang penulis tatap di blog hjarshad.blogspot.com. Ia turut diulas oleh blogger rbf di sini. Semangat Nik Aziz untuk "menjahanamkan" BN mungkin ada tetapi dari kemampuan fizikal bagaimana? Cuba nilai tiga keping gambar yang penulis paparkan di bawah.





4. Kesimpulan mudah penulis ialah mungkin Malaysiakini sengaja "memperli" jentera PAS yang masih lagi mahu mempergunakan Nik Aziz semata-mata untuk memenangkan Zaid Ibrahim dan Anwar di Hulu Selangor. Bagi penulis, jentera PAS di Hulu Selangor langsung tidak berhati perut kerana sanggup untuk "memperkudakan" Nik Aziz yang masih lagi keletihan mengerjakan umrah. Mungkin PAS ingin menunjukkan tindakan ini sebagai satu perjuangan tetapi bagi penulis, ia adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan kepada seorang warga tua.

5. Dek kerana kuasa dan Anwar, jentera PAS sanggup buat apa saja untuk mengangkatnya sebagai Perdana Menteri. Sampaikan habis "diperah" tenaga Nik Aziz. Mengapa tidak digunakan saja Khalid Samad, Mat Sabu, Mahfuz atau hulubalang-hulubalang PAS khususnya puak-puak Erdogan di sana? Adakah kerana cakap mereka sudah tidak ada ummph dan tidak dipedulikan oleh rakyat Hulu Selangor sehingga perlu dibawa Nik Aziz? Itulah hakikat sebenarnya!

Nota Kaki:
Sepatutnya diwaktu ini Nik Aziz dah berehat dah di rumah. Contohi Tun M, sesekali dijemput pergilah ceramah. Ini tidak, demi nak diangkat Anwar jadi PM, menyanggupkan apa saja. Dah lama sangat dah Tok Guru, lama sangat dah, cukuplah.....

Rabu, 21 April 2010

Uniknya cara Zaid “bersukan” kuda, jauh beza cara Tuanku Mizan dan Tun M!

1. Membaca artikel bertajuk Selepas arak, Zaid dituduh ‘kaki judi’ di Malaysiakini (sini) dan ‘Benar saya ada kuda lumba’ di Utusan Malaysia (sini) menyebabkan penulis tersenyum sendirian apabila menusuri kenyataan Zaid yang berikut:

"Itulah masalah dengan Umno. Mereka tidak membezakan antara judi dan sukan”.

2. Sebenarnya dalam konteks kenyataan Zaid ini, bukan menjadi permasalahan dengan UMNO atau orang Melayu Islam mana sekalipun untuk membezakan sukan dengan judi. Zaid sebenarnya cuba untuk membawa mentaliti liberal dalam cara orang Melayu Islam berfikir. Lihat saja bagaimana beliau cuba untuk mengadakan loteri khas (judi) bagi mengumpul dana bagi memajukan institusi sukan di negara ini sehingga dibantah oleh sekalian umat Melayu Islam. Malah PAS ketika itu mengutuk keras cara pemikiran liberal beliau (sini). Kutukan mengenai pemikiran liberal Zaid oleh PAS bukan mengenai isu itu saja, malah banyak lagi (sini).

3. Penulis percaya Melayu Islam secara seluruhnya tahu membezakan apa itu sukan dan apa itu judi. Kepada yang tidak tahu membezakannya, penulis terangkan secara mudahnya begini; sukan melibatkan aktiviti kecergasan yang boleh diangkat menjadi pertandingan di antara dua pihak manakala judi pula melibatkan unsur pertaruhan.

4. Sekiranya dalam sesuatu aktiviti sukan itu melibatkan pertaruhan, maka ia sudah dikategorikan sebagai judi. Sebagai contoh, di negara kita industri sukan dilaksanakan tanpa perjudian (kecuali lumba kuda) jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura yang membenarkan pertaruhan (judi) dalam kebanyakan acara sukan seperti perlawanan bola sepak.

5. Lumba kuda merupakan satu-satunya sukan yang dibenarkan pertaruhan (perjudian) di Malaysia. Namun orang Islam (Melayu) bukan saja diharamkan dari aspek agama Islam malah Kerajaan Persekutuan turut “mengharamkannya” dari aspek perundangan untuk mereka terlibat dalam pertaruhan. Ini bermakna hanya orang bukan Islam dibenarkan untuk berjudi dalam pelumbaan kuda. Walau bagaimanapun, tiada halangan langsung untuk orang Islam (Melayu) memiliki kuda sama ada untuk tujuan ekustrian, endurance, berlumba atau suka-suka.

6. Lihat saja bagaimana Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang amat meminati sukan berkuda lasak sanggup mencemar duli untuk menyertai pertandingan endurance peringkat antarabangsa sama ada di dalam atau di luar negara dengan menunggang sendiri kuda milik baginda, tanpa mengupah pelumba lain. Atas minat baginda yang mendalam terhadap sukan lumba kuda juga membolehkan wujudnya pasukan baginda sendiri iaitu Royal Terengganu Endurance Stable (sini).

7. Tun Mahathir (Tun M) juga amat meminati sukan berkuda dan dengan minatnya itu kediamannya kini terletak di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan (berhampiran Palace of the Golden Horses), antara kawasan kondusif untuk memelihara kuda. Tun turut memastikan pembinaan Putrajaya tidak terlepas dari menyediakan kemudahan sukan berkuda dengan mewujudkan Taman Ekuestrian Putrajaya (sini). Ketika menjadi Perdana Menteri dulu, walaupun di dalam kesibukan, Tun sentiasa mengambil masa untuk menunggang sendiri kudanya. Bagi Tun itulah cara beliau bersukan kuda. Menunggang sendiri kuda yang dimilikinya.

8. Berbeza dengan cara Tuanku Mizan dan Tun M meminati sukan berkuda, Zaid Ibrahim menggunakan pendekatan unik “bersukan” kuda. Beliau tidak menunggang sendiri kudanya yang bernama “Kelantan” itu tetapi ia ditunggang oleh seorang joki di dalam pertandingan lumba kuda.

9. Zaid “amat berbangga” dengan pencapaian Kelantan di litar lumba kuda. Ini kerana wang kemenangan (hasil dari wang pertaruhan “pejudi-pejudi”) di litar lumba kuda yang diperolehi amat besar nilainya, bukan kecil. Satu ketika, Kelantan pernah memenangi wang kemenangan sebanyak USD 450,000.00 iaitu pada 25 Ogos 2006 (sini). Itu baru satu perlumbaan, entah berapa lagi kejayaan yang dicapai Kelantan. Belum kira lagi yang menggunakan proksi (sini). Hebat sungguh Kelantan!

10. Apa yang menyedihkan penulis ialah Zaid cuba untuk meliberalkan pemikiran Melayu Islam dengan menyatakan “memiliki kuda lumba tidak boleh disamakan dengan berjudi” sedangkan beliau tahu Kelantan digunakan untuk tujuan pertaruhan (perjudian) di dalam perlumbaan. Bukankah Zaid dikira bersubahat dalam urusan perjudian kerana mempertaruhkan kudanya untuk “dijudikan” walaupun oleh orang bukan Islam? Wang kemenangan yang diperoleh pula adalah hasil dari taruhan para pejudi. Tidakkah sekelumit rasa di hati Zaid merasa bersalah?

11. Kesimpulannya, cara Zaid berfikir amat tidak bersesuaian dan amat merbahaya kepada umat Melayu Islam di Malaysia. Beliau cuba untuk meliberalkan segala perkara demi survival politik beliau, Anwar dan PKR. Janganlah kita sesekali terfikir untuk membawanya ke Dewan Rakyat. Jika dulu BN pernah tersilap dengan “membawanya” bagi mewakili penduduk Kota Bharu, janganlah pula diulangi kesilapan itu. Di bawah mana bendera sekalipun (terutamanya PKR), Zaid Ibrahim harus dihalang. Pengundi Hulu Selangor harapan semua umat Melayu Islam pada 25 April ini. Selamatkan Malaysia dari Melayu Liberal dan penghianat negara!

Nota kaki:
Dengar khabar PAS Hulu Selangor boikot Zaid. PAS Pusat terpaksa kerah jentera dari luar untuk berkempen demi menjaga air muka. Sampai bila PAS nak gadai perjuangan demi Anwar?

Selasa, 20 April 2010

Zaid Ditempelak Kaki Minum Ketika Berkempen!



Kejadian di dalam bangunan persatuan Cina ini berlaku begitu cepat dan tanpa dijangka. Lelaki Cina separuh umur yang berdiri disebelah kiri telah menempelak Zaid dengan kata2

"Latuk lu manyak kuat minum...semua paper alak cakap....sikalang lu tak boleh minum lagi arrr...Lain kali mali sini boleh minum sama saya (sambil menunjuk kearah botol Tiger Beer diatas meja)".

Zaid jelas terkejut dan tidak senang dengan kata2 tersebut terus pusing dan beredar dari meja tanpa membalas. Tian Chua pula cepat2 mengambil langkah "damage control".


Nota kaki:
Penulis memetik (gambar dan ulasan) dari jurugambar politik masyhur, minaq jinggo (sini). Kredit untuk beliau! Penyokong PKR, PAS dan DAP ada komen?

Apa yang Zaid Ibrahim akan bawa ke Hulu Selangor?

1. MIMPI!. Itu sebenarnya “pembangunan” dan “kesejahteraan” yang bakal dibawa oleh Zaid Ibrahim kepada rakyat Hulu Selangor sekiranya beliau memenangi pilihanraya kecil pada 25 April ini.

2. Alasannya mudah, modus operandi dan kempen PKR, PAS dan DAP tidak berubah seperti pilihanraya kecil sebelum ini iaitu menyerang BN, menyerang YAB Najib dan memperlekehkan Kerajaan Persekutuan. Mereka langsung tidak membicarakan tentang “apa yang boleh mereka bawa” ke Hulu Selangor.

3. Jenuh penulis mencari apa yang ingin dibawa Zaid jika menang di Hulu Selangor. Puas menggunakan google, buka Suara Keadilan Online, cuba juga di Harakahdaily dan Dapmalaysia namun yang dijumpai hanya celaan dan hinaan kepada BN. Tidak puas hati, penulis bertanyakan kawan-kawan yang berkampung di Hulu Selangor baik Pro-BN atau Pro-PKR, semuanya elek!

4. Jika hendak dikatakan rakyat Hulu Selangor akan dibantu MB Khalid seandainya Zaid menang, maka omongan kosong yang dijaja PKR akan terus menjadi mimpi ngeri buat rakyat Hulu Selangor. Lihat saja ketika Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad sedang gering dulu, apa yang MB Khalid buat untuk membantu kawasan rakan separtinya? Jangankan kata hendak membantu, turun melawat Hulu Selangor pun tidak!

5. Sebab itu awal-awal lagi MB Khalid (sini) tanpa rasa malu mengalu-alukan agar BN menaburkan lebih banyak projek di Hulu Selangor ketika kempen pilihanraya ini. Harapannya, beliau tidak akan berasa malu kerana di bawah pemerintahannya rakyat Hulu Selangor langsung tidak merasakan pembangunan, sekurang-kurangnya ada walaupun dari BN!

6. Sebenarnya apa muslihat Anwar meletakkan Zaid Ibrahim, seorang yang bermasalah dari aspek tata moral diri yang awal-awal lagi sudah diketahui akan dijadikan belasahan dalam kempen BN? Teruk sangatkah orang Selangor hingga terpaksa dibawa orang Kelantan untuk berkhidmat di Hulu Selangor? Apa Anwar ingat rakyat Selangor senang-senang akan terima orang luar macam Guan Eng di Pulau Pinang?

7. Jelas, terang lagi bersuluh, Anwar sengaja meletakkan Zaid di Hulu Selangor dengan harapan untuk membawanya ke Dewan Rakyat. Persoalan untuk Zaid berkhidmat dan membawa pembangunan di Hulu Selangor langsung tidak terfikir di mindanya.

8. Di Dewan Rakyat, Zaid yang merupakan bekas Menteri yang menjaga undang-undang dan merupakan seorang peguam kaya-raya (sini) akan digunakan untuk “mempertahankan” dirinya yang sedang menghadapi tuduhan liwat. Ini kerana situasi sekarang meperlihatkan “panglima-panglima” Anwar yang lain langsung tidak berkredibiliti. Semua pandai memutar belit tetapi “bodoh” dalam bidang perundangan.

9. Anwar sebenarnya tidak peduli tentang rakyat Hulu Selangor. Yang dipentingkan adalah dirinya. Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Ezam (sini) iaitu walaupun Anwar sebenarnya “bukannya suka sangat pada Zaid” tetapi orang inilah yang “boleh digunakan” untuk kepentingan dirinya kelak. Sebab itulah hinggalah ke saat ini, tidak terjumpa atau terdengar langsung perkara yang berkaitan pembangunan dan kesejahteraan yang mahu dibawa Zaid ke Hulu Selangor. Akan terus bermuramlah rakyat Hulu Selangor jika Zaid yang ditabalkan wakil rakyat mereka pada 25 April ini.

10. Kesimpulannya, jika anda penyokong tegar PKR, PAS dan DAP yang masih mahu mengundi Zaid, jangan lupa rakamkan apa yang dijanji-janjikannya sekarang, nanti boleh dijadikan bukti. Maklumlah, beliaukan peguam, habis dipusingnya nanti. Oh... sekadar bertanya, adakah pembangunan dan kesejahteraan yang dijanjikan Zaid di Hulu Selangor? Setakat ini penulis belum jumpa lagi!

Nota kaki:
Kemana menghilangnya kempen “berdegar-degar” Kerajaan 16 September yang nak ambil alih Putrajaya tu? Tak kedengaran langsung di Hulu Selangor!

Khamis, 15 April 2010

Harakahdaily hentam Zaid Ibrahim, Calon PKR Hulu Selangor!

1. KITAR SEMULA! Itulah gelaran yang diberikan oleh pemimpin dan penyokong PAS, PKR dan DAP kepada calon-calon BN sekiranya meletakkan calon yang pernah kalah atau digugurkan untuk bertanding semula di dalam sesuatu pilihan raya. Tan Sri Isa Samad contohnya (sini, sini dan sini), ketika bertanding di Bagan Pinang dihumbarkan kata cercaan sedemikian tanpa henti. Malah sekiranya G. Palanivel dicalonkan semula oleh BN di Hulu Selangor, maka gelaran itu juga akan turut dicanang kepadanya.

2. Menariknya di Hulu Selangor, PKR lebih pantas berbanding BN dalam meletakkan calon kitar semula malah uniknya ialah calon berkenaan juga merupakan katak (dari satu parti ke satu parti yang lain) yang terbuang (dipecat! sini) dalam arena politik. Selayaknya, gelaran yang sesuai diberikan kepada calon berkenaan ialah KATAK BUANGAN KITAR SEMULA bagi menonjolkan keunikkan yang ada padanya.

3. Kelebihan Katak Buangan Kitar Semula PKR ini ialah beliau bukan saja pernah menjawat jawatan Menteri Kabinet (tetapi digelar Menteri Paling Celaka oleh yb_pmn di Tranungkite@Online di sini), malah pernah digugurkan sebagai calon PRU 2008 dan dipecat dari UMNO. Sisa buangan inilah yang kini dikutip dan dijadikan calon PKR. Persoalannya, adakah PKR ketandusan pemimpin di Hulu Selangor sehingga terpaksa mengharapkan kepada sisa buangan UMNO untuk diangkat sebagai calon pilihan raya? Sisa buangan yang dibawa dari Kota Bharu, Kelantan pula tu!

4. Bersesuaian dengan dengan tema awalan penulisan artikel ini iaitu “Kitar Semula”, penulis turut mengitar semula cercaan dan celaan Harakahdaily kepada Zaid Ibrahim, Katak Buangan Kitar Semula PKR di Hulu Selangor. Menariknya cercaan dan celaan ini bukan saja pernah dipaparkan melalui media rasmi maya PAS malah kesemuanya ditulis oleh pendokong dan penyokong tegar parti berkenaan.

5. Melalui artikel bertajuk Isu Majlis Peguam, Zaid Ibrahim perlu letak jawatan (sini) yang ditulis oleh Zaili Muhammad, Sofi Wahab, Ketua Penerangan PAS Melaka menempelak Zaid, yang merupakan seorang Menteri (ketika itu), yang “sepatutnya tidak bersikap berat sebelah dan membuat kenyataan mengikut kehendak diri sendiri dengan membelakangkan kepentingan agama Islam”. Ini kerana “di saat umat Islam Malaysia tanpa mengira ideologi politik bangkit mempertikaikan tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut (Forum Memeluk Islam), menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang (Zaid) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau sebaliknya.” Ini menyebabkan Sofi seterusnya mempersoalkan “kredibiliti Zaid sebagai individu yang dikatakan pakar dalam undang-undang”. Zaid juga dilabel oleh Sofi sebagai “penyokong kuat Suruhanjaya Antara Agama (IFC)” dan berharap agar beliau “lebih rasional dan lebih terbuka dalam isu berkaitan kedaulatan Agama Islam”. Akhir sekali, Sofi melahirkan kekesalannya kerana “Zaid bukan sahaja tidak berusaha untuk memperkasakan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah malah seakan-akan bersekongkol dengan puak-puak yang cuba mencabar Islam”. Adakah orang ini yang diperlukan oleh rakyat Hulu Selangor?

6. Menurut Azamin Amin pula melalui artikel bertajuk Zaid dan hujah dangkalnya tentang kes Lina Joy dikecam hebat (sini), calon PKR ini “cuba bertindak membela Lina Joy dalam permohonannya untuk menukarkan label 'Islam' dalam kad pengenalannya”. Tindakan Zaid ini melahirkan kekecewaan di kalangan masyarakat kerana beliau “secara terang-terangan memperlekehkan perjuangan umat Islam yang mahu membanteras gelaja murtad”. Malah Azamin turut menyatakan seorang pemanggil yang menghubunginya turut mempersoalkan mengapa Zaid “membela hak dan amalan orang lain sedangkan agama sendiri (Islam) dinafikan haknya”. Adakah orang ini yang diperlukan oleh rakyat Hulu Selangor?

7. Ustaz Zolkharnain Abidin melalui artikel bertajuk Cadangan Zaid supaya wujud loteri diselar (sini) menyelar cadangan Zaid untuk mengadakan loteri khas sebagai dana bagi mengatasi masalah kewangan yang dialami institusi sukan di Malaysia. Exco Dewan Pemuda Pas ini menganggap cadangan Zaid sebagai “biadap dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Islam”. Zolkharnain turut menyatakan Zaid seorang yang angkuh kerana apabila ditanya sama ada cadangannya itu halal atau haram, jawapan yang diberikan Zaid ialah "Yang pentingnya ialah untuk apa tujuan wang itu digunakan. Kenapa kita takut melakukannnya? Adakah kerana PAS? Mereka hanya ada enam kerusi di Parlimen. Nak takut apa?". Adakah orang ini yang diperlukan oleh rakyat Hulu Selangor?

8. Terakhir untuk artikel ini (walaupun banyak lagi sebenarnya!), penulis memetik tulisan Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (sini), yang mengkritik kenyataan Zaid ketika ditemuramah oleh majalah Off the Edge edisi April 2006. Beliau berpandangan pendapat Zaid adalah “selaras dengan perjuangan golongan Islam liberal yang mempromosikan apa yang dipanggil do not legislate or police morality (soal akhlak tidak wajar dikawal oleh undang-undang). Prinsip ini tidak mengendahkan soal halal dan haram kerana bagi golongan ini kebebasan individu adalah segala-galanya. Prinsip ini adalah bersandarkan teori harms to others yang diperjuangkan oleh ahli falsafah perundangan barat yang terkenal iaitu John Stuart Mills yang menyatakan, I am a master over my body and my mind so long I do not cause harm to others (saya adalah tuan kepada badan dan minda saya selagi mana saya tidak mengganggu orang lain). Mereka yang berpegang dengan prinsip ini membenarkan seseorang itu melakukan apa-apa sahaja selagi mana ia tidak mengganggu orang lain. Berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai malahan bercium di khalayak ramai adalah satu kebebasan yang perlu dihormati selagi mana ia tidak mengganggu orang lain.” Adakah orang ini yang diperlukan oleh rakyat Hulu Selangor?

9. Berdasarkan artikel yang ditulis sendiri oleh penyokong tegar PAS di dalam Harakahdaily yang penulis kongsikan di atas, jelas menunjukkan penduduk Hulu Selangor, khususnya penyokong PAS, tidak patut mengundi Zaid Ibrahim, orang yang menyaman Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu kerana mahu melaksanakan HUDUD (Ya! Zaid Ibrahim orangnya! Baca sini). Kredibiliti dan imej beliau sebenarnya telah "dibogelkan" sendiri oleh orang-orang PAS. Namun penulis percaya, sedangkan dengan syaitan dan DAP pun PAS sanggup untuk berkawan bagi menjatuhkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO (menyembah Allah yang Esa, satu kiblat yang sama!) melalui BN, inikan pula PKR. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya!

Nota kaki:
Artikel ini penulis tujukan khusus kepada penyokong PAS bagi menilai Calon Katak Buangan Kitar Semula PKR bersumberkan kepada Harakahdaily, media rasmi PAS sendiri. Janganlah pula dikatakan Harakahdaily pun dibeli oleh UMNO untuk menjatuhkan PKR. Semua ini adalah dari anda sendiri! What you give, you’ll get back!

Khamis, 8 April 2010

MB Khalid Sedar Kemampuan Kerajaan Pimpinannya

SK: BN Dialu Tabur Banyak Lagi Projek Di Hulu Selangor (sini)

"Saya berterima kasih kepada kerajaan pusat, kalau nak bina, binalah, terutama kalau nak bina universiti, kerajaan negeri akan carikan tanah terbaik.
"Kalau betul nak buat universiti jumpa kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan beri tanah dan premium pun rendah. Saya akan tolong, kalau mereka tak ada pelan, kita boleh buatkan pelan itu.
"Kita sangat gembira. RM100 juta tidak cukup, bagi RM300 juta, untuk hospital dan universiti. Boleh beri nama Universiti Barisan Nasional atau Universiti 1Malaysia, kita boleh bagi tapi buat di Selangor," ujarnya berseloroh.

1. Demikian petikan kata-kata MB Khalid dalam nada “berseloroh” yang disiarkan dalam Suara Keadilan. Walaupun dikatakan berseloroh, MB Khalid sebenarnya sedia mengakui hakikat bahawa Kerajaan Campuran Selangor sekarang tidak mampu untuk membawa apa-apa projek untuk kesejahteraan rakyat di Hulu Selangor.

2. Sebab itu jauh di lubuk hatinya beliau redha dan amat berharap agar Kerajaan Persekutuan memberikan sebanyak mungkin projek di Hulu Selangor ketika Pilihanraya Kecil (PRK) ini. Maka bolehlah beliau dan rakan-rakan PAS dan DAP untuk menumpang kasih nanti misalnya dari aspek keuntungan cukai PBT dan peniagaan hasil dari projek-projek yang diberikan Kerajaan Persekutuan.

3. Ketika beria-ia (dalam “seloroh”) mahu menyediakan tanah untuk pembinaan universiti dan hospital oleh Kerajaan Persekutuan di Hulu Selangor, kemusykilan wujud di benak rakyat (bukan saja di Hulu Selangor malah seluruh negara) ketika ini ialah mengapa MB Khalid langsung tidak memberi ruang kepada Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK) untuk membina universiti di Serendah (yang terletak di Daerah Hulu Selangor itu sendiri!) sedangkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberi UiTM sudah lama dulu. Malah persetujuan itu bukan ketika Pilihanraya Umum mahupun ketika Pilihanraya Kecil?

4. Adakah MB Khalid baru tersedar yang keputusan dibuat pimpinannya untuk merampas kembali tanah yang diberikan kepada YBK oleh Kerajaan Negeri terdahulu telah mendatangkan kerugian politik kepadanya akibat bantahan oleh rakyat Hulu Selangor sendiri? (sini dan sini). Akhirnya dalam isu ini, yang untung rakyat negeri Melaka, atas kebijaksanaan Tok Ali untuk membawa UiTM berkenaan ke negeri Hang Tuah itu.

5. Baru ternampakkah oleh MB Khalid (digelar “bekas tokoh korporat” oleh penyokong PKR, PAS dan DAP) keuntungan yang bakal dijana khususnya dari aspek ekonomi sekiranya universiti dibina di Hulu Selangor? Inilah akibatnya melantik penasihat ekonomi yang bernilai RM1, maka nasihat yang diterima sudah pasti benilai RM1 atau kurang dari itu (sini).

Nota kaki:
Sepatutnya ketika menjadi CEO Guthrie dulu, MB Khalid patut menjaga amanah yang diberi Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan rakyat, bukan beli saham Guthrie untuk keuntungan diri sendiri.