Rabu, 10 November 2010

Dr Asri mohon maaf atau perli Anwar sebenarnya?

Benarkah Dr Asri sebenarnya memohon maaf kepada Anwar kerana mengeluarkan kenyataan meminta beliau bersara politik dalam surat terbuka yang disiarkan dalam laman blognya? (sini)

Para blogger Pakatan Haram malah Malaysiakini turut memuatkan besar-besar tajuk Asri mohon maaf cadang Anwar ‘bersara’ (sini) bagi menggambarkan Dr Asri seolah-olah menyesali, meratapi dan gundah gulana oleh kerana menyuruh Anwar berambus dari arena politik tanah air.

Hakikatnya, para blogger Pakatan Haram termasuklah Malaysiakini tidak menyiarkan secara penuh surat terbuka Dr Asri itu. Mereka sengaja mahu membutakan hati para penyokong totok Pakatan Haram untuk terus melihat Anwar sebagai pemimpin agung mereka.

Penulis secara peribadi melihat Dr Asri sebenarnya memerli Anwar dan para penyokongnya kerana tidak mahu menerima hakikat yang mereka tidak lagi relevan dalam politik Malaysia hari ini. Walaupun mengeluarkan kenyataan “maaf” namun Dr Asri sebenarnya masih berpegang kepada kenyataanya sebelum ini iaitu Anwar harus bersara dari politik. Berikut petikan dari surat Dr Asri di para 9 mengenai perkara yang penulis maksudkan.

“Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi –seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu (Anwar harus berundur) ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.”


Selain itu, dua posting terdahulu yang berkait dengan kenyataan asal Dr Asri agar Anwar bersara politik juga menunjukkan yang beliau sebenarnya memerli Anwar. Kedua-duanya secara jelas menampakkan niat sebenar Dr Asri.

Pertama, jika dilihat kepada posting bertajuk Jangan Melenting Jika Anda Melaungkan Freedom of Expression pada 3 November 2010 (sini), dua hari selepas mengeluarkan posting yang meminta Anwar bersara politik (sini), moderator blog Dr Asri secara jelas telah memerli Anwar dan PKR kerana marah dan memburukkan Dr Asri. Perbandingan secara jelas diberikan di antara Pak Lah dan Anwar.

Ketika menjawat jawatan mufti Perlis, Dr Asri secara terangan melalui Pantun Cari Ganti meminta Pak Lah untuk berundur dari jawatan Perdana Menteri. Para penyokong UMNO, BN malah Pak Lah sendiri tidak melenting dengan cadangan berkenaan kerana mengetahui itu hak Dr Asri sebagai seorang rakyat untuk bersuara.

Pantun yang diterima dengan hati terbuka oleh Pak Lah dan penyokong UMNO/BN

Namun, apabila cadangan diberikan untuk Anwar bersara, Dr Asri bukan saja diburukkan oleh Anwar dan para penyokong Pakatan Haram, malah dikatakan sebagai tali barut UMNO, ulamak duitan dan pelbagai celaan yang menjatuhkan maruah beliau. Mereka secara bermati-matian tidak mahu menerima pandangan berkenaan walaupun kononnya memperjuangkan kekebasan bersuara!

Sebab itu moderator Minda Tajdid di dalam posting berkenaan memerli Anwar dan Pakatan Haram mereka dengan menyatakan:

Freedom of expression yang dilaungkan oleh sesetengah pihak (Anwar, PKR, PAS dan DAP ) tidak memberi makna jika hanya mereka setuju suara mereka dan menghalang suara orang lain. Cadangan Dr MAZA tentang DSAI bukanlah pandangan agama, ia sekadar pandangan seorang rakyat dalam satu isu politik yang terbuka.”

Kedua, posting pada 6 November 2010 yang bertajuk Jangan Buruk Sangka, Berlapang Dada: Jika Tidak, Bagaimana Nak Jadi Penguasa Saksama? (sini) yang ditulis sendiri oleh Dr Asri secara jelas menunjukkan yang PKR enggan menerima kebenaran yang Anwar perlu berundur dari politik. Kenyataan Dr Asri di awal posting menceritakan segalanya:

Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan PR yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI sebagai contoh, seperti biasa mereka (Anwar dan penyokong Pakatan) melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan. Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai. Mereka (PKR) enggan terima hakikat ini dan meradang serta membuat serangan peribadi.

Dr Asri turut memberikan contoh bagaimana momentum politik Barrack Obama juga turut mengalami kemerosotan akibat tidak dapat memenuhi janji-janji beliau ketika berkempen walaupun popularitinya satu ketika dulu amat disanjung bukan saja oleh warga Amerika malah para pemujanya di seluruh dunia. Dan, bagi mengelakkan ia berlaku kepada Pakatan, Dr Asri mencadangkan agar main player (Anwar) berundur dan memberi laluan kepada orang lain.

Di akhir posting berkenaan juga Dr Asri sekali lagi secara jelas memerli Anwar dan penyokongnnya dengan menyatakan:

Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!

Nah, jelas terang dan lagi bersuluh, ketiga-tiga posting di laman Dr Asri sebenarnya secara jelas memerli Anwar dan penyokongnya yang tidak mahu menerima hakikat bahawa Anwar sebenarnya tidak lagi relevan dalam politik Malaysia hari ini.

Kenyataan “maaf” yang dikeluarkan Dr Asri dalam posting terakhir sebenarnya bertujuan agar mereka membuka mata untuk menginsafi dan meneliti semula apa yang diperkatakan beliau sebelum ini.

Namun penulis percaya, Anwar dan para penyokongnya serta pemimpin dan pentaksub PAS dan DAP akan tetap memburukkan Dr Asri dan melihat beliau sebagai tali barut UMNO. Ia bukan sukar untuk difahami dan mengerti. Bukankah politik yang didoktrinkan Anwar adalah dengan menyalahkan orang lain? Yang baik, suci dan tulus mulus itu hanya mereka. Yang buruk, busuk dan celaka itu semuanya UMNO dan BN semata-mata.

Justeru, marilah kita semua rakyat Malaysia membuka mata agar tidak diperbodohkan oleh Anwar dan para pentaksubnya hari ini, esok dan sampai bila-bila.

Semoga Allah sentiasa memberikan nur di hati kita. Amin.

1 ulasan:

Komen puas-puas agar anda berpuas hati! Pastikan anda betul-betul puas hati!