Khamis, 12 Ogos 2010

Isu kamera adalah rekaan Khalid tarik perhatian Anwar dan alih perhatian rakyat!


Semalam 11 Ogos 2010, Khalid Ibrahim mendedahkan beliau menemui sebuah kamera yang dakwanya digunakan untuk merakamkan pergerakan beliau di bilik Menteri Besar Selangor (sini, sini dan sini). Penulis merasakan isu ini tidak lebih dari rekaan beliau untuk menarik perhatian Anwar dan mengalihkan perhatian rakyat.

Tarik Perhatian Anwar
Semua telah sedia maklum kuasa politik Selangor terbahagi dua. Team A menyokong Khalid dan Team B menyokong Azmin Ali. Kemuncak kepada persaingan kuasa politik ini ialah apabila Khalid digugurkan sebagai Pengerusi PKR Selangor dan digantikan dengan Azmin (sini).

Terciptanya isu ini membolehkan Khalid membela diri bahawa kegagalan pentadbirannya selama ini adalah disebabkan perlakuannya telah dirakam dan banyak rahsia-rahsia pentadbiran telah bocor kepada Team Azmin. Sebab itu banyak perkara mengenai kelemahan Khalid didedahkan oleh Azmin atau proksinya sama ada di dalam atau di luar Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, Khalid pasti mengharapkan simpati Anwar untuk menimbangkan agar jawatan MB yang disandangnya dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya akan datang setelah mengetahui strategi busuk yang digunakan Team Azmin.

Alih Perhatian Rakyat
Selain itu, perkara ini juga digunakan Khalid untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kepincangannya menangani isu pasir, masalah air, pertelingkahan sesama ADUN Pakatan Haram dan lain-lain lagi.

Sudah pasti jentera Pakatan Haram akan menggunakan isu kamera ini sebagai modal sama ada melalui TVSelangor, blog atau akhbar rasmi mereka dengan mengatakan ia angkara UMNO untuk mencari kelemahan Khalid.

Penulis berpandangan, UMNO sebenarnya tidak perlu bersusah payah untuk mencari kelemahan Khalid dengan meletakkan kamera di biliknya. Telah banyak terpampang kepincangan pentadbiran Khalid yang tidak perlu diselindungkan lagi. Rakyat Selangor dapat melihat dan merasainya.

Helah kamera ini tidak lebih dari untuk menyelamatkan survival politik Khalid sebagai MB. Khalid sendiri sedar, ancaman sebenar yang dihadapinya bagi kerusi MB datang dari Azmin dan bukannya UMNO.

Pertelingkahan Khalid – Azmin ini amat merugikan rakyat Selangor. Ketika mereka saling merebut kuasa, banyak isu rakyat yang tidak dapat diselesaikan. Jika ini berterusan, status negeri maju yang dicapai pada tahun 2005 di bawah pentadbiran BN akan hilang bila-bila masa.

Cukup-cukuplah berpolitik kerana kuasa wahai ADUN-ADUN Pakatan Haram sekalian. Rakyat mahukan janji pilihan raya lalu ditunaikan segera. Janji-janji berkenaan perlu diselesaikan sepenuhnya. Air contohnya, yang dijanjikan percuma kepada semua, tapi yang dapat cuma diskaun saja. Bukankah itu menipu namanya?

Nota kaki:
Alahai, Tony Pua pula dakwa dapat peluru. Satu lagi strategi Pakatan Haram untuk alih perhatian rakyat sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen puas-puas agar anda berpuas hati! Pastikan anda betul-betul puas hati!